Khamis, 9 April 2015

La Tahzan Innallaha Ma'ana



LA TAHZAN INNALLAHA MA'ANA

Maksudnya : "Jangan bersedih sesungguhnya Allah bersama kita." Siapa yang tidak melaluinya tidak akan memahami maksudnya. Orang yang pernah hidup dan bertawakal dia akan mengetahui keajaiban bertawakal. Bila hati insan bulat kepada Ya Rabb: "Ya Allah aku serahkan urusan ini kepadaMu Ya Allah." Kita sering lupa yang kita masih punya kehidupan di akhirat. Apabila insan melihat dunia daripada dimensi akhirat. Dia akan merasakan dunia ini sangat kecil.

PENCERAHAN :
Kehidupan ini sangat luas. Nabi SAW sebut dalam hadisnya : "Allah bawa pada hari akhirat, manusia yang paling derita dalam dunia ini." Dia dimasukkan ke dalam syurga kemudian dia dikeluarkan lalu di tanya : "Wahai fulan adakah kau pernah merasa derita dalam hidup?" Dia kata, "Tak! Aku tak pernah rasa derita pun dalam hidup ini."Hanya kerana masuk syurga sekelip mata di dalam syurga, dia lupa cerita derita.

Allah ambil manusia yang paling nikmat dalam dunia ini segala yang nikmat Allah masukkan dia ke dalam neraka. Lalu dikeluarkan dia lalu ditanya : "Pernahkah kau merasai nikmat dalam hidup ini?" Dia kata : "Tak! Aku tak pernah ada nikmat pun dalam hidup ini." Hanya dengan satu celupan sahaja ke dalam neraka manusia lupa segala kisah nikmat hidupnya. (HR : Muslim)

Masihkah kita ingat akan nikmat yang Allah berikan selama ini? Kita selalu nak bersyukur kalau diberi benda baru dan kita lupa bahawasanya apa yang ada pada kita ini suatu nikmat yang besar. Seorang hamba Allah yang dipotong sebelah kakinya yang dia tidak pernah pun sebut atau barangkali tak pernah teringat tentang nikmat kaki tersebut yang setiap hari dia menapak sebelum ini. Atau sekurang-kurang dia mensyukuri kerana masih mempunyai sebelah kaki lagi, bukannya terus merungut kerana kehilangan sebelah kakinya. Kata Pak Hamka : "Yang ada ini sudah harapan kita".Tetapi insan bukan salah untuk kita mengharapkan yang belum ada tetapi jangan lupa yang telah ada !

Duit dalam genggaman kita, dalam akaun bank, dalam poket seluar mahu pun beg duit belum tentu lagi menjadi milik kita. Bila-bila saja kita mungkin kehilangannya. Andai ditakdirkan kita mati hari ini, kita kembali kepadaNya dengan tangan yang kosong. Tanpa wang, tanpa harta. Semuanya milik Allah. Dan Dia berhak atas segalanya. Sebagaimana firman Allah SWT :

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (QS. Al-Baqarah : 155)

Wang dan harta yang kononnya milik kita juga bila-bila masa sahaja jika Dia mahu menariknya kembali, dengan pelbagai cara ia ‘pergi’ dari kita. Contohnya melalui GST atau tiba-tiba kita kehilangan wang, tercicir atau diragut. Atau mungkin bagi sesiapa yang miliki kereta, tiba-tiba sahaja kereta rosak, atau tayar pecah atau terlanggar pokok. Semuanya perlukan wang dan secara tidak langsung, duit itu keluar dari poket kita.

Bukankah Allah sayang kepada orang yang bersabar dan menerima ketentuanNya dengan hati yang tenang dan redha? Bersabarlah wahai hati, sesungguhnya Allah bersama dengan mereka yang sabar dan beriman kepadaNya. Firman Allah SWT :
“Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (QS. At-Taghabun: 11)

Jangan bersedih.. bersabarlah.. .Jangan bersedih.. bersabarlah... Bersabarlah wahai hati. Yakinlah bahawa Allah sentiasa ada bersamamu, bila ditimpa musibah, hadapilah segalanya dengan tabah dan ucapkanlah “Innalillahi wainna ilaihi rajiun” yang bermaksud : "Sesungguhnya dari Allah kita datang, dan kepadaNya juga kita kembali."

KESIMPULAN :
Apabila kita melihat hidup ini secara keseluruhan kita akan rasa, masyaAllah hidup ini. Apa yang Allah kurniakan kepada kita lebih daripada harapan kita sebenarnya. Kalau kita ingat daripada hari kita dilahirkan, tempat kita dilahirkan, rumah kita dibesarkan, sehingga anda mampu membaca tazkirah ini.
Wallahu a'lam - Masyaallah Tabaraqallah, berapa juta kali nak sebut ucapan syukur pun masih tak memadai sebenarnya....

Wallahu a'lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan