Selasa, 7 April 2015

Jodoh Satu Rahsia Dari Allah

JODOH!!! Satu Rahsia Dari Allah

Apa kita faham tentang jodoh? Seseorang mempunyai boyfriend atau girlfriend, adakah itu jodoh? Bila ditanya kenapa belum berkahwin lagi, mereka menyatakan belum jodoh lagi, bila sudah ke gerbang perkahwinan, maka itu barulah jodoh. Dah buat maksiat banyak kali kemudian menuduh jodoh pula menjadi penghalangnya. Bagaimana pula dengan mereka yang berkahwin berpuluh-puluh tahun lalu bercerai, dan mereka menyatakan pula tiada lagi jodoh antara mereka.

PENCERAHAN :
Jodoh adalah satu rahsia dari Allah SWT, dan difahami jodoh itu adalah pasangan yang di anugerahkan oleh Allah kepada kita. Setiap yang diciptakan oleh Allah adalah berpasangan, itu juga adalah jodoh. Siang jodohnya malam, kanan jodohnya kiri, air pasang jodohnya surut dan seumpamanya.

Jodoh adalah rahsia hebat dari Allah untuk kita. Allah menentukan jodoh untuk kita atas usaha yang kita jalankan. Kita seharusnya berusaha memilih jodoh yang terbaik untuk kita. Allah bagi ikhtiar kepada kita... ketentuannya terletak kepada Allah jua.

Jodoh itu datangnya dari Allah, dengan usaha yang kita lakukan. Timbul pula persoalan, pasti ramai yang pernah mendengar ada yang berkata ada tiga punca jodoh, iaitu;
1. Jodoh dari Syaitan
2. Jodoh dari Jin
3. Jodoh dari Allah.

Sebenarnya, jodoh itu tetap dari Allah, tetapi kerana usaha kita yang mengikut jalan yang dipenuhi tipu daya syaitan, itulah maksud sebenar kenyataan jodoh dari syaitan. Andai kita berpegang pada ajaran Al-Quran dan Sunnah yang sebenar, maka dapatlah kita jodoh yang diredhai oleh Allah SWT.

Dengan tiupan dari syaitan inilah kita sentiasa melihat untuk mencari kesempurnaan pasangan, sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap pasangan atas ketidaksempurnaan tersebut, sedangkan dalam agama diciptakan berpasangan kerana sama-sama tidak sempurna, untuk saling melengkapi dan saling menutup ketidaksempurnaan tersebut.

Salah faham masyarakat kita dengan menganggap bahawa jodoh yang sebenar adalah insan yang benar-benar baik dan sempurna untuk dirinya. Bagaimana pula Nabi Nuh a.s, seorang rasul yang diutus dijodohkan dengan isteri yang menolak agama Allah? Kerana itulah jodoh itu tetap menjadi rahsia Allah, dan manusia handaklah memahami bahawa apa yang ditentukan oleh Allah itu lebih baik dari apa yang difikirkan manusia. Lihat firman Allah ini ;

ْ وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
"... dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (QS. Al-Baqarah : 216)

Allah mengkehendaki kebaikan kepada kita, lalu dikurniakan kepada kita seorang isteri yang mampu bersabar dengan kita, begitu jugalah sebaliknya. Itulah kebaikan dari Allah, disebalik apa yang kita sangka tidak baik bagi kita. Sebab itu pernah kita lihat suaminya biasa je tapi isterinya sangat cantik. Atau si isteri biasa-biasa je tapi suaminya sangat hensem. Ini semua urusan Allah.

“...kemudian Allah SWT mengutuskan malaikat untuk meniupkan roh serta memerintahkan supaya menulis empat perkara iaitu ditentukan rezeki, tempoh kematian, amalan serta nasibnya samada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan. Maha suci Allah SWT di mana tiada tuhan selainNya.” (Sahih Muslim, Kitab Takdir, no: 4781)

KESIMPULAN :
Kita tidak perlu takut siapakah jodoh kita kerana pasangan kita sudah pun ditentukan oleh Allah dan apa yang perlu dilakukan adalah berusaha di atas landasan agama dalam mencari jodoh itu. Sama ada untuk jodoh kali pertama, kedua atau seterusnya. ^_^

Wallahu'alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan